BEBERAPA siri bengkel penulisan yang diadakan oleh Alaf 21 telah berjaya menarik ramai peserta. Tujuan untuk mereka mengetahui cara-cara penulisan novel yang betul dan berkesan.
Untuk kali ketiga, Alaf 21 sekali lagi menganjurkan bengkel penulisan yang diadakan pada 24 Julai yang lalu. Bertempat di Akademi Karangkraff, novelis prolifik, Sri Diah dan Sharifah Abu Salem telah dijemput sebagai penceramah bersandarkan pengalaman mereka sebagai penulis yang berpengalaman luas dalam bidang penulisan novel sejak 20 tahun yang lalu.
Bagaimanapun, Sharifah Abu Salem yang sepatutnya hadir, tidak sihat. Masalah kesihatan yang dihidapinya tidak mengizinkan beliau untuk sama-sama berkongsi pengalaman sebagai penulis dengan para peserta.
Namun jutaan terima kasih diucapkan kepada Sri Diah kerana mampu mengendalikan bengkel tersebut dari pagi hingga ke petang dengan penuh semangat dan ceria. Beliau telah memberikan sepenuh idea, berkongsi pengalaman dan panduan menulis kepada semua peserta.
Dari jam 9.30 pagi hingga 4.15 petang, para peserta tidak jemu-jemu bertanya untuk mendapatkan ilmu dan rahsia menjadi novelis terkenal daripada Sri Diah. Antara tip yang disampaikan oleh beliau adalah membaca pelbagai genre sangat penting untuk mendapatkan idea dan ilmu pengetahuan. Di samping itu, pengalaman sekeliling juga dapat membantu untuk mendapatkan idea dalam penulisan.
Salah seorang peserta iaitu Ilani Mysara, telah menghasilkan lima buah novel bersama Alaf 21. Menurut beliau, sudah menghasilkan banyak novel tidak bermakna ilmu di dadanya sudah penuh. Baginya, menimba ilmu perlu dilakukan secara berterusan walaupun daripada mereka yang lebih muda daripada beliau.
Rata-rata para peserta sudah pun mempunyai idea untuk menulis. Ada juga yang sedang menulis. Mereka sudah nampak cara yang harus diikuti bagi menghasilkan sebuah novel yang berwawasan dengan gaya bahasa yang menarik.
Kepada peserta-peserta semua, pihak Alaf 21 menyusun jari memohon maaf jika terdapat sebarang kekurangan yang tidak kami sedari. Jumpa lagi di bengkel yang akan datang.
No comments:
Post a Comment