Thursday, July 29, 2010

PANDUAN PENGHANTARAN MANUSKRIP


Anda yang berminat untuk menghantar karya perlu mengikut panduan yang disediakan oleh Alaf 21 seperti berikut:

  1. Tebal manuskrip antara 350-450 saiz A4. Jaraknya 1.5 spacing.

  1. Saiz font 12 dan gunakan font ITC Clearface atau Times Roman.

  1. Manuskrip hendaklah dicetak di bahagian depan sahaja dan bukannya depan belakang. Kemudian dijilid. Seelok-eloknya com binding.

  1. Sertakan sinopsis cerita, nama penuh, alamat, nombor telefon dan alamat emel anda untuk dihubungi.

5. Manuskrip ini hendaklah dihantar sendiri atau diposkan ke Alaf 21.

Jangan sertakan CD, disket atau pendrive.

6. Setiap manuskrip yang sampai ke Alaf 21 akan dimaklumkan kepada penulis.

Penerimaan ini juga akan direkodkan sebagai simpanan kami.

7. Panel penilai akan menilai setiap manuskrip dalam masa empat minggu.

8. Setiap karya akan dinilai dari aspek tema, plot, bahasa, kronologi cerita, moral, keistimewaan (tidak stereotaip dengan cerita-cerita yang pernah dibaca/ada identiti sendiri), falsafah, teknik penceritaan dan mood cerita.

9. Jika kualiti cerita tidak memenuhi kriteria pemilihan, manuskrip tersebut akan dikembalikan. Biasanya dengan pos berdaftar atau pos ekspres.

10. Sekiranya panel penilai berpendapat manuskrip tersebut sesuai untuk diterbitkan, penulis akan dimaklumkan tentang perubahan/pemantapan yang perlu dilakukan. Kebiasaannya penulis dikehendaki melakukan penambahan/ pindaan

bagi memastikan kemantapan cerita (tertakluk kepada perbincangan).

11. Setelah panel penilai berpuas hati dengan pindaan/perubahan/pemantapan yang telah dilakukan, penulis dikehendaki menghantar CD atau emel kepada kami manuskrip tersebut untuk proses penyuntingan.

12. Elakkan cerita bertemakan kahwin paksa, kahwin yang diaturkan oleh keluarga, kahwin kerana berkhalwat dan orang ketiga kerana cerita sebegini telah banyak berada di pasaran dan dapat dijangka apakah ke­sudahannya.

13. Cuba fikirkan jalan cerita yang menarik, ada unsur saspens/tanda tanya, ada identiti sendiri serta lonjakan emosi yang boleh menarik pembaca untuk terus membaca. Yang pasti, elakkan persamaan jalan ce­rita dengan novel lain yang pernah anda baca.

14. Anda perlu menghantar keseluruhan manuskrip dan bukannya sekadar lima bab sahaja semata-mata untuk mendapatkan komen.

15. Penghantaran manuskrip hendaklah dialamatkan kepada:


KETUA EDITOR,

ALAF 21 SDN BHD,

LOT 2, JALAN SEPANA 15/3,

OFF PERSIARAN SELANGOR,

SEKSYEN 15,

40200 SHAH ALAM,

SELANGOR

MENJANA ILMU PENULISAN MELALUI BENGKEL

BEBERAPA siri bengkel penulisan yang diadakan oleh Alaf 21 telah berjaya menarik ramai peserta. Tujuan untuk mereka mengetahui cara-cara penulisan novel yang betul dan berkesan.

Untuk kali ketiga, Alaf 21 sekali lagi menganjurkan bengkel penulisan yang diadakan pada 24 Julai yang lalu. Bertempat di Akademi Karangkraff, novelis prolifik, Sri Diah dan Sharifah Abu Salem telah dijemput sebagai penceramah bersandarkan pengalaman mereka sebagai penulis yang berpengalaman luas dalam bidang penulisan novel sejak 20 tahun yang lalu.

Bagaimanapun, Sharifah Abu Salem yang sepatutnya hadir, tidak sihat. Masalah kesihatan yang dihidapinya tidak mengizinkan beliau untuk sama-sama berkongsi pengalaman sebagai penulis dengan para peserta.

Namun jutaan terima kasih diucapkan kepada Sri Diah kerana mampu mengendalikan bengkel tersebut dari pagi hingga ke petang dengan penuh semangat dan ceria. Beliau telah memberikan sepenuh idea, berkongsi pengalaman dan panduan menulis kepada semua peserta.

Dari jam 9.30 pagi hingga 4.15 petang, para peserta tidak jemu-jemu bertanya untuk mendapatkan ilmu dan rahsia menjadi novelis terkenal daripada Sri Diah. Antara tip yang disampaikan oleh beliau adalah membaca pelbagai genre sangat penting untuk mendapatkan idea dan ilmu pengetahuan. Di samping itu, pengalaman sekeliling juga dapat membantu untuk mendapatkan idea dalam penulisan.

Salah seorang peserta iaitu Ilani Mysara, telah menghasilkan lima buah novel bersama Alaf 21. Menurut beliau, sudah menghasilkan banyak novel tidak bermakna ilmu di dadanya sudah penuh. Baginya, menimba ilmu perlu dilakukan secara berterusan walaupun daripada mereka yang lebih muda daripada beliau.

Rata-rata para peserta sudah pun mempunyai idea untuk menulis. Ada juga yang sedang menulis. Mereka sudah nampak cara yang harus diikuti bagi menghasilkan sebuah novel yang berwawasan dengan gaya bahasa yang menarik.

Kepada peserta-peserta semua, pihak Alaf 21 menyusun jari memohon maaf jika terdapat sebarang kekurangan yang tidak kami sedari. Jumpa lagi di bengkel yang akan datang.

Thursday, July 22, 2010

PELUANG MENJADI PENULIS...


Anda ada bakat menulis? Berminat menulis dengan Alaf21? Apa kata anda hantarkan karya anda ke Alaf21. Kami memang mengalu-alukan manuskrip anda terutama untuk novel bercorak Islamik. Cepat! Hantarkan karya anda ke:
KETUA EDITOR,
ALAF 21 SDN BHD,
Lot 2, Jalan Sepana 15/3,
OFF PERSIARAN SELANGOR, SEKSYEN 15,
40200 SHAH ALAM,
SELANGOR DARUL EHSAN

Sebarang masalah atau pertanyaan e-melkan ke norlizawati@alaf21.com.my. Kami menanti manuskrip anda terutama novel bercorak Islamik.

Inilah peluang untuk anda menjadi penulis terkenal. REBUTLAH PELUANG KEEMASAN INI SEBELUM TERLAMBAT.

Monday, July 19, 2010

Salam Perkenalan...

Alaf21, salah satu nama yang tidak asing lagi dalam dunia penerbitan, khususnya penerbitan novel... Bermula tahun ini, Alaf21 mengorak langkah lagi dengan menerbitkan novel bercorak Islamik ataupun lebih dikenali sebagai NOVEL NUR...