Wednesday, August 11, 2010

SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA DI BULAN RAMADAN


Sempena menyambut bulan yang mulia ini, kami editor novel Alaf21 ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh peminat novel Alaf21 yang beragama Islam. Semoga Ibadah kita akan senantiasa diberkati ALLAH. Sambil itu, jangan lupa membaca novel ALAf21 sebagai juadah minda...

Tuesday, August 10, 2010

ALAF21 MELAKAR SEJARAH BARU



Team Alaf 21 sama-sama meraikan kejayaan Top 5 Novelis.

SEBAGAI penerbit novel, pengiktirafan yang diterima oleh lima novelis ini juga merupakan kejayaan bagi Alaf 21. Bermula dari sebuah syarikat kecil yang serba kekurangan kira-kira 13 tahun yang lalu, kami mengengsot, merangkak, bertatih dan berjalan perlahan-lahan membina nama.

Ketika itu penulis-penulis yang sudah punya nama cuma mahukan cop logo syarikat penerbitan yang besar sahaja untuk buku-buku mereka. Bagi mereka, logo syarikat kecil ini tidak layak untuk buku-buku mereka yang mempunyai nilai sastera yang tinggi.

Cabaran ini kami sahut. Bermula dengan hanya tiga orang penulis novel, kini Alaf 21 telah berjaya membina nama ramai penulis muda dan kami dikenali sebagai Penerbit Novel No 1 Malaysia. Syukur ke hadrat ALLAH SWT.

Apakah kunci kejayaan Alaf 21? Kesabaran dan teamwork daripada semua kakitangan adalah ramuannya. Kami bekerja bagai satu keluarga. Berinteraksi dan menegur antara satu sama lain dengan cara berhemah. Berkat kesabaran kami menerima kritikan, teguran malah tohmahan daripada pihak-pihak luar yang melabelkan kami sebagai penerbit novel-novel picisan dan murahan. Akhirnya di sinilah kami berdiri sekarang. Sesungguhnya untuk kesekian kalinya, kami sedar rezeki ini semuanya datang dari Yang Maha Esa.

Bagi anda yang minat menulis novel, dengan besar hati anda dijemput datang ke Alaf 21. Kami memang mengalu-alukan manuskrip anda terutama manuskrip novel bercorak Islamik. Kita sama-sama berganding tenaga untuk memajukan lagi industri penerbitan buku tanah air. Berkat kesabaran, kejujuran, keikhlasan dan sentiasa bersangka baik antara satu dengan yang lain, inilah hasil yang mereka perolehi kerana sesuatu kejayaan itu bukan datang dalam sekelip mata!

Penulis bergambar bersama PM, Dato’ Najib Tun Razak

Monday, August 2, 2010

NOVEL NUR KIAN MENDAPAT TEMPAT DI HATI PEMBACA




MULAI Januari 2010, ALAF 21 telah mengorak langkah ke depan dengan menerbitkan jenama terbaru iaitu novel Islamik yang dikenali sebagai NOVEL NUR. Kelahiran novel ini sebagai menyahut hasrat dan impian pembaca yang mahu lebih banyak novel seperti ini dipasarkan untuk bacaan ramai tanpa mengira usia.


Kini sudah ENAM novel Nur yang diterbitkan. Antaranya Setenang Cahaya Hati, Sesuci Kasih Bonda, Kasih ke Syurga, Mencari Naurah, Redha Takdir-MU dan Lembayung Kasih-MU. Sambutan yang diterima daripada para pembaca sangat menggalakkan.

Setiap komen dan kritikan, kami terima dengan hati terbuka. Hasrat kami, setiap novel akan sentiasa diperbaiki sama ada dari segi konsep kulit depan, warna-warna yang digunakan, isi cerita dan layout.

Sesuai dengan namanya NUR yang bererti CAHAYA, setiap novel akan diterapkan dengan nilai-nilai murni tentang kehidupan insan dalam lingkungan kita. Alaf 21 sentiasa memantau setiap aspek cerita yang bakal diterbitkan agar ia kekal dengan konsep penerbitannya iaitu sinaran ketakwaan dan keimanan untuk pembaca semua.

Penerimaan manuskrip untuk novel NUR juga semakin bertambah. Menurut mereka, ruang ini merupakan satu platform bagi mereka yang ingin menghasilkan penulisan kreatif yang cenderung ke arah islamik. Bagaimanapun kami perlu menapis hanya manuskrip yang
benar-benar sesuai saja yang akan dipilih untuk diterbitkan.

Kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi salah seorang penulis novel NUR, hantar manuskrip anda ke Alaf 21. Sebarang kemusykilan boleh di-emelkan kepada kami.